Tuesday, October 20, 2009

XM Final...

Assalamualaykum warahmatullah.

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya tarikh sebenar peperiksaan akhir tahun enam telah pun diketahui. Peperiksaan yang bermula pada 8 Disember 2009 dan berakhir pada 17 Januari 2010 ini bakal menjadi medan terakhir buat kami pelajar-pelajar tahun 6 Kuliah Perubatan, Universiti Ain Shams selama keberadaan kami di bumi Mesir. Moga peperiksaan kali ini dapat dilalui dengan baik dan sempurna serta memberikan natijah yang cemerlang buat kami semua.

Mohon doa dari semua. Buat Idil, Akmal, Munir, Daing, Zawil, Asma dan K.Laili di Ain Shams serta Hamdan, Iqbal, Dzul,Izwan, Firdaus, Faaiqah, Adlina, dan Aniah, selamat berjuang diucapkan dan semoga semuanya beroleh kejayaan InsyaAllah.

Sunday, September 20, 2009

Eid Mubarak...

Allahu Akbar!

Allahu Akbar!

Allahu Akbar!

Walillahi Alhamdu.

Selamat Hari Raya Eidul Fitri saya ucapkan kepada semua sahabat-sahabat, teman-teman penjenguk blog ini. Mengambil kesempatan di sini untuk memohon ampun dan maaf atas silap dan salah selama pemusafiranku di bumi yang fana ini. Mudah-mudahan sekolah Ramadhan yang telah kita lalui kembali membawa kita kepada fitrah dan menjadikan kita insan yang bertaqwa kepadaNya.

Salamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

Daripada Salam Perantauan Utusan Online.



Salam Ramadhan Al-Mubarak buat keluarga di Kuala Terengganu, Kuala Lumpur dan Kota Bharu. Juga buat sahabat handai di seluruh dunia dan guru-guru di SMKA Sheikh Abdul Malek, Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, INTEC dan Kolej MARA Banting. Semoga Ramadhan kali ini membawa banyak kebaikan dan keberkatan, dan semoga Shawal yang menjelang memberi kebehagiaan kepada kita semua. Doakan kami di tahun akhir pengajian.





Tuesday, September 8, 2009



“Sesungguhnya telah disempurnakan penciptaan salah seorang dari kalian dalam perut ibunya selama empat puluh hari dalam bentuk sperma, kemudian dia menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian menjadi segumpal daging selama itu pula, kemudian Allah mengutus kepadanya malaikat, kemudian ditiupkan ruh kepadanya, lalu malaikat tersebut diperintahkan untuk menulis empat perkara; untuk menulis rizkinya, ajalnya dan amalannya dan nasibnya (setelah mati) apakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah yang tidak ada ilah yang berhak diibadahi selain Dia. Sesungguhnya salah seorang dari kalian benar-benar beramal dengan amalan ahli surga, sehingga jarak antara dirinya dengan surga hanya satu hasta, lalu dia didahului oleh catatan takdirnya, sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga dia memasukinya. Dan salah seorang di antara kalian benar-benar beramal dengan amalan ahli neraka, hingga jarak antara dirinya dengan neraka hanya sehasta, lalu dia didahului oleh catatan takdirnya, sehingga dia beramal dengan amalan ahli surga hingga dia memasukinya. (HR Bukhari dan Muslim. Shahih dikeluarkan oleh Al Bukhari di dalam [Bid’ul Khalqi/3208/Fath]. Muslim di dalam [Al Qadar/2463/Abdul Baqi]).


Seorang ustaz pernah bercerita kepada saya sewaktu saya masih kecil, perihal kisah dua orang adik beradik. Seorang abang dan seorang adik yang begitu jauh feil dan karektornya. Si abang seorang yang kuat beribadah siang dan malam sementara si adik , seorang kaki maksiat yang hidup dengan melakukan dosa dan kemungkaran.

Namun ditakdirkan tuhan, kedua-duanya mati dan menerima nasib yang jauh berbeza. Si adik ditempatkan di syurga sementara si abang dilontarkan ke dalam neraka. Semuanya kerana nawaitu mereka sejurus sebelum mereka meninggal dunia. Si abang sebelum matinya terdetik untuk menuruti adiknya untuk melakukan maksiat kerana sudah merasakan terlalu lama beribadah sementara si adik pula terdetik untuk bertaubat dan meninggalkan segala maksiat yang dilakukan. Nawaitu itulah yang membawa mereka menerima pembalasan sedemikian oleh Allah Subhanahu wataala.

Begitulah juga apa yang ingin dibawa menerusi kisah Antara Garisan ini. Bagaimana seorang yang pada zahirnya kelihatan alim, warak dan bertaqwa, akhirnya tercabut darinya hidayah daripada Allah menyebabkannya terhumban ke neraka. Sementara mereka yang bergelumang dengan maksiat, sempat pula bertaubat sebelum nyawa diragut malaikat.



Mungkin antara pengajaran yang boleh diambil dari cerita ini ialah;

1. Ramai mereka yang baik-baik ni selalu melihat orang yang tidak berapa baik ini dengan pandangan hina dan mengeji sedangkan pandangan yang sepatutnya diberikan adalah pandangan kasihan dan memohon hidayah buat mereka.
2. Manusia akan mudah meninggalkan soal halal dan haram apabila memikirkan soal mengisi perut. Bahkan seorang muslim boleh meninggalkan agamanya hanyalah untuk mendapatkan rezeki tanpa mengetahui betapa besarnya nilai iman yang dimiliki.
3. Begitu halus bisikan syaitan yang sentiasa menggoda kita walaupun berupa perbuatan yang bersandarkan ‘kerana Allah’.
4. Memahami dan mendengar antara kunci untuk menyelesaikan masalah seseorang.

Akan tetapi jangan salah tafsir pengajaran kisah ini dengan ini ya:

1. Tidak mengapa tidak bertudung asalkan hati baik seperti Cikgu Asyikin.
2. Tidak mengapa melakukan maksiat kerana Allah itu Maha Pengampun dan akan mengampunkan segala maksiat yang dilakukan.

Moga cerita yang dipaparkan dapat menginsafkan kita supaya sentiasa menjaga nikmat hidayah diberikan Allah.

Ya Tuhan kami, janganlah kau palingkan hati kami setelah Engkau tunjuki dan berilah kami dari hadhirat-Mu rahmat karena Engkau adalah Yang Maha Pemberi


Moga sepuluh terakhir Ramadhan yang bakal dilalui akan membawa kita kepada pembebasan daripada api neraka insyaAllah.

Selamat menonton. Ramadhan Kareem...

Saturday, August 22, 2009

Lord Of Ramadhan...



Salam Ramadhan Kareem buat semua. Walau lama tidak berupdate,tetap tidak mahu melepaskan peluang mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua. Juga mengambil kesempatan untuk meminta ampun dan maaf daripada semua insan yang pernah bermuamalah atau mengenali saya. Moga Ramadhan kali ini dapat kita lalui dengan sebaiknya dan tidak gagal pula mendapatkan rahmat dan keampunan dariNya.

Ramadhan kali ini juga adalah Ramadhan ketujuh saya di perantauan dan InsyaAllah menjadi Ramadhan terakhir saya di Perlembahan Nil ini. Moga ada kenangan tersendiri untuk diingati. Dan yang terlebih penting moga madrasah Ramadhan kali ini akan kembali membawa saya dan kita semua kepada tujuan hidup dan menjadikan diri seorang yang bertaqwa kepadaNya.

Selamat bersahur, berpuasa, berbuka dan bertarawikh eh bertarawih buat semua. ;)

Saturday, July 11, 2009

Jika kita mengetahui...

Semalam saya dan idil ke rumah Ustaz Fauwaz untuk meneruskan pembacaan hadith-hadith daripada kita Muktasar Abu Jamrah.Akhirnya kami sampai kepada hadith yang berbunyi:

Daripada Abu Hurairah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sekiranya manusia mengetahui kelebihan pada seruan memenuhi saf yang pertama sehigga tidak dapat diperoleh hanya dengan mengundi, maka merekakan mengundi. Jika mereka mengetahui kelebihan mendatangi masjid seawalnya untuk Solat Jumaat, maka mereka tidak akan melambatkannya. Dan jika mereka mengetahui kelebihan mendirikan Solat Isyak dan Subuh berjemaah, maka mereka akan menunaikannya sekalipun terpaksa merangkak.


Ya, jika mereka mengetahui.

Baru-baru ini kita disensasikan dengan berita terjumpanya ketulan-ketulan emas di Kampung Jelutong di Pendang yang menyebabkan ramai penduduknya berduyun-duyun untuk mencari emas di sana. Hingga ada ibu bapa yang pada awalnya tidak membenarkan anaknya untuk mencari emas di situ kemudiannya rambang mata apabila melihat anaknya membawa balik ketulan emas tersebut dan akhirnya turut sama mencari

Begitulah halnya jika kita mengetahui, bahkan yakin dengan apa yang kita lihat dengan mata kepala kita sendiri. Rasulullah sebagai seorang yang dekat dengan Allah pastinya diberikan kelebihan dengan diperlihatkan kelebihan-kelebihan yang diperoleh oleh ummatnya apabila melakukan ibadah kepada Allah. Hanya kita sebagai ummatnya ini yang mahu percaya bahkan yakin dengan apa yang diberitakan baginda itu.



Kalaulah kita bayangkan kelebihan-kelebihan itu sepertinya ketulan-ketulan emas yang berkilauan menanti mereka yang sudi mendapatkannya, pastinya kita tidak hairan kalau ada yang sanggup pergi mendapatkannya walaupun terpaksa merangkak.

Friday, July 10, 2009

Alhamdulillah semalam saya baru sahaja menamatkan round masalik (Urosurgery), round special terbaik setakat ini kerana mengikut jadual, doktor sentiasa datang walaupun tidak semua yang menepati waktu. Berbanding round-round yang lain sebelum ini yang selalu lompang dan tidak punya jadual!

Justeru besok akan bermulalah round ortho buat saya selama 2 minggu. Idil pula yang sedang melalui round O & G sudah tidak ada round lagi bermula minggu ini. Minggu ini juga tiada lagi lecture untuk O & G dan lecture surgery pula akan berterusan selama 2 minggu lagi.

Rupa-rupanya saya sudah semakin hampir dengan penghujung pengajian. Rakan-rakan arab sudah ramai yang mula membawa kamera ke kuliah untuk menangkap gambar bersama untuk dijadikan kenang-kenangan. Mungkin selepas masing-masing menamatkan pengajian, peluang untuk kembali bertemu bersua muka sudah sukar untuk dimiliki lagi. Hanya gambar-gambar tersebut menjadi tanda bahawa kita pernah bertemu, bersahabat dan mengenali suatu ketika di alam pengajian tinggi.


Terasa cepat pula enam tahun masa yang berlalu. Saat ketika keluarga melepaskan pemergian saya ke Mesir.


Sebetulnya saya tidaklah begitu berkawan rapat dengan pelajar-pelajar tempatan. Persahabatan kami hanyalah bertegur sapa ketika tutorial, bertanya khabar dan bercerita. Kekadang bergurau senda dengan bergelak ketawa dengan lawak-lawak dalaman yang mungkin saya sendiri sukar untuk memahami. Tidak pernah terlintas untuk bersahabat rapat, ziarah menziarahi atau keluar bersama. Mungkin itu antara kekurangan saya ketika berada di sini. Saya tidak pasti, adakah puncanya dari saya sendiri yang agak tidak mesra dengan mereka, tidak suka bersahabat atau malu untuk memulakan bicara. Atau mereka sendiri yang tidak terlalu berminat untuk berkawan lebih jauh setakat mengenali dan senyum apabila berjumpa.

Atau adakah saya seorang yang sombong?

Wallahu a'lam, apapun sebenarnya saya mula makin rapat dengan kawan-kawan segroup saya apabila memasuki tahun 5 dan 6. Kawan-kawan yang sebelum ini tidak pernah bertegur sapa dengan saya mula bertegur sapa dan baru cuba untuk berkenalan walaupun kami telah 4 tahun sekuliah sebelum ini. Hairan juga bukan? Isteri saya sendiri menyedari akan hal itu dan saya sendiri tidak dapat memberikan alasan terbaik untuk itu.

Apapun memandangkan tempoh masa yang tinggal untuk kami bersama semakin suntuk, saya cuba untuk menghargai masa yang ada ini untuk semakin mendekati mereka dan memesrai mereka. Mungkin kami tidak berkesempatan untuk berkawan rapat selama 6 tahun setengah sekuliah bersama, namun mungkin pada suatu masa nanti kami akan kembali bersua, mungkin berjuang bersama di arena kedoktoran yang sama-sama kami ceburi ini untuk ummah keseluruhannya.

Wallahu a'lam. Untuk adik-adik yang masih di tahun satu, dua dan tiga. Atau empat mahupun lima. Cubalah berkawan dengan kawan-kawan arab ini dan cubalah mendapatkan apa-apa yang baik daripada mereka dan semoga persahabatan itu mampu untuk membuahkan suatu yang baik untuk dibawa pulang ke Malaysia nanti.

Saya sendiri tidak pasti mengapa saya menceritakan ini semua. Sekurang-kurangnya tulisan ini menunjukkan saya semakin sayu untuk meninggalkan Mesir tidak lama lagi. Pohon hanya yang terbaik dariNya. Sekian, jazakumullah khairan kathira...

Cerminan sejati...

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaykum dan salam sejahtera.

Suatu ketika Rasulullah makan dengan sahabat-sahabat baginda dan yang ada bersama baginda pada waktu itu adalah Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah. Mereka makan kurma sambil berbual-bual. Apa yang dilakukan oleh baginda, setiap kali baginda menghabiskan kurma baginda,bijinya diletakkan di hadapan Ali sehingga tiadalah biji kurma dihadapan baginda sebaliknya menimbun di hadapan Ali.

Lalu Rasulullah berbicara kepada Ali, "Ya Ali, kuatnya kamu makan, hingga begitu banyak biji-biji kurma di hadapan kamu" dengan nada berjenaka.

Lalu Ali menjawab dengan berkata, " Ya Rasulullah, orang yang kuat makan itu sebenarnya yang memakan kurma hingga biji-bijinya sekali sehingga tiada lagi biji di hadapannya"

Mungkin tidak begitu banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah tadi, cuma apa yang cuba saya sampaikan di sini ialah untuk menceritakan keperibadian Rasulullah yang cukup mesra dengan sahabat baginda. Baginda bergurau, baginda berjenaka namun pastinya tidak secara berlebihan serta keterlaluan. Baginda cukup mengasihi sahabat-sahabat baginda sementara sahabat-sahabat juga turut menyintai dan mengasihi baginda sepenuh hati.

Pernah Abu Sufian berkata, "aku tidak pernah melihat seseorang menyayangi seorang yang lain seperti sahabat-sahabat Muhammad menyayangi Muhammad".

Sanggup berkorban harta, jiwa dan raga demi junjungan nabi yang kita kita cintai ini. Begitulah keadaan sahabat-sahabat di zaman baginda.

Hari ini, mungkin kita perlu kembali menilai dan muhasabah sejauh mana tahap persahabatan kita selama ini. Sejauh mana kita telah menepati seruan baginda yang mahu kita menyayangi sahabat kita seperti menyayangi diri kita sendiri. Memuliakan sahabat, membantu ketika kesusahan, memberikan senyuman ketika mana bersua dan menjadikan diri sahabat-sahabat kita itu salah satu asbab yang membolehkan kita mendapat kemanisan iman, mendapat perlindungan di padang mahsyar dan mendapat kesenangan hidup di syurga yang kekal abadi.



"Tiga perkara yang jika seseorang itu melakukannya maka akan mendapatkan halawatul iman (kemanisan iman) iaitu menjadikan Allah dan Rasulnya yang paling dikasihi melebihi yang lain, dia mengasihi seseorang sahabatnya kerana Allah dan yang benci untuk kembali menjadi kufur seperti dia benci untuk dicampakkan kedalam azab api neraka"


Ada pepatah yang menyebut.

Sayangkan anak tangan-tangankan,
Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan,
Sayangkan sahabat?

Jika diikutkan terlalu banyak perbincangan ulama dahulu berkaitan hak-hak sahabat yang sehingga mungkin tak terpenuhi oleh kita dalam kita bersahabat. Namun apa yang terlebih penting di sini adalah untuk kita meletakkan kasih sayang kita kepada sahabat kita serta sanggup untuk menjadi cerminan yang baik buat sahabat kita itu tadi.

Membenarkan kebaikan yang dikerjakan, menegur kesilapan yang dia lakukan.

“Seorang mukmin itu adalah cermin kepada saudaranya” – (Abu Dawood 41: 4900)



Sekadar gambar hiasan :)


Ya Allah, berkatilah sahabat-sahabatku, berkatilah persahabatan kami, berikanlah kami kekuatan untuk menghadapi segala mehnah dan ujian dariMu, suburkanlah rasa cinta dan kasih sayang di hati kami demi mendapatkan rahmat dan keredhaan dariMu, serta tempatkanlah kami di syurga bersama hamba-hamba yang Engkau kasihi. Dan berikanlah kami keselamatan di dunia dan di akhirat...

Diri ini mungkin banyak melakukan kesilapan, culas dalam menunaikan hak-hak dalam bersahabat namun moga Allah sentiasa memelihara rasa kasih yang ada dalam diri ini kepada sahabat-sahabat, tua ataupun yang muda. Moga kita diberkati kerananya.

Jazakumullah khairan kathira...

Wednesday, June 24, 2009

Assalamualaykum warahmatullah dan salam sejahtera.

Sedar tidak sedar kita telah pun melepasi separuh daripada tahun 2009. Sudah 6 bulan tahun enam telah saya lalui dan hanya baki sebulan lebih lagi akan dihadapi sebelum diberikan ruang untuk study bermati-matian menghadapi final pada pertengahan bulan November nanti.

Musim panas telah pun menjengah dan menyerlahkan kehangatannya. Pelajar-pelajar di tahun 1,2,3 dan 4 semakin mengahampiri garis penamat imtihan masing-masing dan bakal melalui percutian musim panas sebelum kembali ke sekolah pada sessi hadapan. Ada yang bercadang pulang ke Malaysia, ada yang mahu melancong ke sana dan sini, tidak kurang pula yang mahu menghabiskan cuti di Mesir sahaja merasai bahang panas yang menyengat di sini, melakukan apa-apa aktiviti yang bermanafaat dan berguna.

Kurang setahun daripada sekarang, jika diizinkan Tuhan saya akan menamatkan pengajian perubatan di bumi mesir ini. Setelah 6 tahun setengah di perantauan, pastinya kembali ke kampung halaman adalah suatu yang cukup di tunggu-tunggu oleh para perantau. Begitu juga saya, cukup teruja untuk kembali ke Malaysia. Sahabat-sahabat sebatch ramai yang telah menamatkan pengajian masing-masing dan mula berkhidmat dalam bidang masing-masing. Ada yang ke utara, ada yang ke selatan, timur mahupun barat. Semuanya mula memulakan hidup sebagai orang dewasa dan berkira-kira membina keluarga. Kalau dahulu saya sedikit cemburu kepada sahabat-sahabat yang sudah berkerjaya namun apabila memikirkan tidak lama lagi untuk pulang, saya sendiri tidak pasti apakah saya sudah bersedia untuk terjun ke medan.

Sejauh mana saya dapat menjadi seorang yang berguna dalam masyarakat, sejauh mana ilmu yang saya ada ada dan sejauh mana saya dapat memberikan khidmat saya kepada Islam dan ummah di Malaysia mungkin adalah persoalan-persoalan yang perlu saya selesaikan sebelum pulang. InsyaAllah masa masih ada untuk saya menyiapkan diri. Arrgh! apabila memikirkan tidak lama lagi bakal meninggalkan ardu kinanah ini terasa sedih pula. Sedih kerana gagal menggunakan keberadaan di sini dengan sebaiknya, sedih kerana bakal meninggalkannya dan tidak pasti bila pula akan kembali. Namun jauh di sudut hati, saya tetap menyimpan azam untuk kembali ke sini. Untuk apa? Tak tahu la, biarlah Dia yang menentukan. Apapun untuk waktu terdekat ini, fokus saya adalah untuk menghabiskan sessi persekolahan sehingga ogos ini sebelum menghadapi imtihan MCQs pada pertengahan dan akhir Ogos nanti dan kemudian peperiksaan akhir pada Januari nanti. Mohon doa daripada semua dan moga Dia permudahkan segalanya.

Wassalam.

Thursday, June 11, 2009

Seorang teman...

Assalamualaykum warahmatullah.

Terpanggil untuk turut mengepos entry khas buat seorang sahabat, junior yang telah kembali kerahmatullah baru-baru ini. Walau tidak banyak kenangan bersama beliau namun hati ini cukup sayu menerima taqdir pemergian tersebut dan jauh dihati saya berasa kasih dan sayang kepada Allahyarham. Mudah-mudahan roh beliau dicucuri Rahmat dan diletakkan di kalangan hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Satu entry yang saya copy and paste daripada blog beliau untuk menceritakan bahawa beliau sememangnya seorang anak yang soleh, rakan yang baik dan teman yang setia dan sentiasa disenangi dan bakal dirindui oleh semua yang mengenali beliau. Allahu yarzuqhu jannata firdausi insyaAllah, Ameen.

Al Fatihah...


__________________________________________________________________________

http://kalam-puncak.blogspot.com - 26 Julai 2008

Hari Rabu, tanggal 27 Julai 1988, dia telah selamat diputerakan. Kelahirannya disambut dengan laungan azan zohor tepat jam 1.25 petang. Wad Bersalin, Hospital Besar Pulau Pinang menjadi tempat berlakunya peristiwa bersejarah ini.


Si dia sewaktu masih tidak reti merangkak lagi



Tanda-tanda kenakalan terpancar


Dia dibesarkan dengan penuh penuh kasih sayang tanpa mengharapkan timbal balik oleh kedua ummi dan abahnya. Cuma satu sahaja. Saham mereka tatkala terpisah sudah roh dari jasad. Kerna itu, curahan kasih sayang tidak pernah henti. Baik dengan kayu rotannya, cubit geramnya, penyangkut bajunya, tapak tamparannya atau jerkahnya. Semua itu tanda sayang. Agar yang bengkok itu kembali lurus.


Ummi dan abah yang buat-buat tak tahu gambar mereka sedang dipukul

Bangun saja tidur awal pagi semalam, inbox terisi dengan mesej dari Ummi. Bunyinya begini;

"Selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke 20. Mudah2an angka 2 menyebabkan along lebih matang dalam iman dan takwa"

Oh, bahagia. Yang pertama ucapkan. Yang kedua angah dan yang ketiga Fayyadh. Hehehe.

Si dia itu adalah saya. Saya yang sibuk menghitung hari pulang ke bumi Malaysia. Tak terbendung rasanya rindu ini pada mereka. Sudah tidak sabar-sabar lagi rasanya.


Bersama-sama kita menuju ke daerah hakiki. Moga berada dalam lembayung rahmahnya.


Terima kasih kepada Ummi dan Abah. Moga Allah mengganjari segala bakti dalam asuh didikku. Tak terbalas olehku anak yang hanya tahu susahkan Ummi dan Abah. Juga adik-adikku, moga bersama kita buru gelaran anak soleh itu.

Sahabat-sahabatku yang bersama-sama kita kongsi nikmat Tarbiyah ini, moga kalian Allah tsabatkan jiwa dan hati kalian atas jalan ini. Teman-teman dan rakan-rakan, moga perkenalan dan pertemuan kita tiada yang lain mengurniakan keredhaan kecuali keredhaanNya.

Moga hidup lebih bererti dalam jiwa hamba!


From http://akudarahanakmalaysia.via.my

Friday, May 8, 2009

Curi Tulang

Assalamualaykum dan salam sejahtera.

Sedikit perkongsian tentang petikan daripada utusanonline bertarikh 27 April 2009 dan 29 April 2009 berkenaan kes dua orang doktor yang ditangkap Timbalan Menteri WP 'curi tulang' dan jawapan daripada Menteri Kesihatan berkenaan hal tersebut. Saya sendiri berasa terkilan dengan kenyataan Timbalan Menteri tersebut yang terlalu cepat menuduh dan mengarahkan semua pegawai kerajaan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan kepada rakyat sedang kebajikan pegawai-pegawai kerajaan tersebut, doktor khususnya masih tidak dapat ditangani dengan baik. Sememangnya ia hanyalah kenyataan politik untuk menunjukkan beliau sebagai seorang yang prihatin kepada rakyat jelata.

Ya betul, sememangnya kita menyeru semua doktor untuk melaksanakan amanah, kerja mereka dengan penuh dedikasi akan tetapi tanggungjawab kerajaan pula untuk memberikan kerehatan secukupnya untuk para doktor dan mencari mekanisme terbaik untuk mengelakkan para doktor terlalu penat setelah 36 jam bekerja tanpa henti semasa on call. Bagi saya, isu pelajar-pelajar luar negara tidak mahu untuk pulang berkhidmat untuk anak bangsa sendiri bukan sahaja kerana gaji atau insentif yang kecil berbanding bekerja di luar negara tetapi juga kerana sistem yang ada di Malaysia yang kurang mesra.

Wallahu a'lam

Timbalan Menteri WP 'tangkap' doktor HKL

KUALA LUMPUR 26 April - Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan (gambar) hari ini 'menangkap' dua doktor di jabatan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi, bukannya merawat lebih 20 pesakit yang menunggu dalam kesakitan untuk mendapat rawatan.

Penemuan yang memeranjatkan Saravanan itu berlaku kira-kira 10.30 pagi ini apabila beliau pergi ke hospital berkenaan untuk melawat seorang pelajar universiti yang cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh pemandu beliau (Saravanan).

"Saya juga menunggu seketika untuk pelajar perempuan itu mendapat rawatan dan setelah menyedari tidak seorang pun pesakit dipanggil masuk oleh doktor, saya terus membuka pintu bilik rawatan. Saya terkejut apabila mendapati seorang doktor sedang membaca surat khabar dan seorang lagi buat hal sendiri dan melakukan kerja peribadi.

"Ada lebih 20 pesakit yang menunggu di luar untuk mendapat rawatan. Ini bukanlah cara seseorang doktor bekerja. Pesakit sepatutnya diutamakan. Lagipun, ini adalah unit kecemasan, yang sepatutnya pantas dalam memberikan rawatan," kata Saravanan kesal.

Saravanan berkata, beliau menegur doktor terbabit kerana kelakuan mereka dan mendesak untuk berjumpa pegawai atasan mereka, yang muncul 30 minit kemudian.

"Selepas itu, pesakit yang menunggu pun segera diberi rawatan. Tak bolehkah doktor itu melayani pesakit dulu? Ini bukan sepatutnya cara perkhidmatan di hospital kerajaan dilaksanakan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam satu daripada lawatan mengejutnya ke pusat bandar semalam berkata, beliau mahu barisan hadapan institusi kerajaan di ibu negara supaya meningkatkan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Saravanan berkata, sungguhpun beliau 'menangkap' doktor terbabit secara tidak sengaja, mulai sekarang beliau akan kerap melakukan lawatan mengejut ke jabatan di bawah kementeriannya bagi memastikan kakitangan di barisan hadapan melaksanakan tugas mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Ini adalah pembuka mata. Kami, sebagai pemimpin, tidak boleh hanya menabur janji sahaja dan tidak memeriksa sama ada kerja dilaksanakan oleh kakitangan kerajaan di barisan hadapan. Kami mesti turun ke bawah (ke akar umbi) bagi memastikan penyelesaian segera ditemui untuk masalah rakyat.

"Apatah lagi dalam keadaan ini apabila orang sedang sakit dan menanggung penderitaan akibat kesakitan itu. Jika mereka tidak sakit, mereka tidak akan datang ke unit kecemasan. Ini adalah pengajaran untuk semua hospital. Tolong bekerja untuk rakyat jika anda menganggotai perkhidmatan awam," katanya. - BERNAMA


Aduan doktor 'curi tulang' tidak benar - Liow

PUTRAJAYA 29 April — Siasatan terhadap dakwaan kononnya pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) ’curi tulang’ mendapati dakwaan itu tidak benar, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.

Beliau berkata doktor yang dikatakan ’membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi’ di wad kecemasan itu sebenarnya merupakan Pegawai Perubatan Siswazah dan baru selesai memeriksa pesakit terakhir.

“Semasa menunggu kad rawatan pesakit seterusnya yang belum dihantar ke biliknya, doktor itu sekadar menyelak akhbar yang ditinggalkan seorang pesakit atas sebuah troli dan hanya mengimbas tajuk utama akhbar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dakwaan kononnya ada 20 pesakit yang sedang menunggu di Zon Kritikal juga tidak benar kerana siasatan mendapati hanya lapan pesakit yang sedang menunggu, selebihnya adalah waris kepada pesakit.

“Tiga pesakit sedang menunggu untuk dirawat dan lima lagi pesakit asma sedang mendapatkan rawatan,” kata Liow.

Ahad lepas, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan mendakwa dua doktor di jabatan kecemasan HKL membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi, bukannya merawat lebih 20 pesakit yang menunggu dalam kesakitan untuk mendapat rawatan.

Saravanan berkata peristiwa itu berlaku kira-kira 10.30 pagi apabila beliau pergi ke hospital berkenaan untuk melawat seorang pelajar universiti yang cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh pemandu beliau (Saravanan).

— BERNAMA

Friday, May 1, 2009

Selamat Hari Pekerja...

"Baiklah pendengar-pendengar sekalian... hari ini hari Jumaat ya... hari ini hari Jumaat, 1 Mei, hari pekerja. Hari pekerja buat kita semua di Malaysia... hari pekerja buat semua di seluruh dunia. Selamat hari pekerja diucap untuk semua.... Baik pekebun, baik nelayan... Baik petani, baik pekerja kerajaan, baik pekerja swasta... Selamat Hari Pekerja buat anda... Sesungguhnya walau kecil, walau besar pekerjaan anda.... Pekerjaan anda itu adalah suatu sumbangan untuk kemajuan negara kita Malaysia yang kita cintai ini." bicara seorang dj radio sambil di selang seli dengan sisipan muzik.

Ya hari ini hari pekerja, hari untuk kita semua yang sentiasa bekerja dan bekerja mengerjakan suruhan Allah supaya kita beramal di dunia ini.Sebagaimana Islam mengajar kita bahawa dunia ini adalah tempat untuk kita beramal, bercucuk tanam sementara di akhirat nanti adalah waktu ketika untuk kita menuai menadah hasilnya. Islam juga menyeru kita untuk melaksanakan semua pekerjaan kita dengan penuh kesungguhan dan mendapatkan natijah terbaik dalam apa jua pekerjaan soleh yang kita kerjakan.

"Sesungguhnya Allah menyukai pekerjaan hambaNya yang dilakukan dengan penuh kesungguhan"

Justeru jika kita amati, orang Islamlah sebenarnya lebih terkehadapan, lebih rajin dan lebih bersungguh dalam melakukan pekerjaan mereka kerana di sana selain mendapatkan bahagiannya daripada kemakmuran dunia, ia juga adalah suatu amal yang disukai oleh Allah dan mendapat pahala apabila melakukannya. Sebaliknya apa yang dapat kita lihat, orang-orang bukan Islam walaupun tiadanya ikatan antara mereka dengan hari akhirat serta persoalan dosa dan pahala, namun mereka cukup rajin bekerja, rajin berusaha sehingga mampu untuk memakmurkan dunia ini dengan apa yang mereka kehendaki.

Oleh itu, bersempena hari pekerja yang disambut ini, saya suka mengajak sahabat-sahabat kembali memuhasabah diri bagaimana pekerjaan yang telah kita lakukan selama ini. Baik belajar, menuntut ilmu, baik berdakwah kepada Islam atau apa-apa jua pekerjaan kita bahkan walau di mana jua bidang kerjaya yang kita ceburi masing-masing. Sejauh mana kita telah melaksanakan pekerjaan kita itu dengan sebaiknya, bahkan sejauh mana pula kita telah melakukan pekerjaan kita itu dengan bersungguh-sungguh semata-mata menyahut perintah Allah dan mengharapkan keredhaanNya dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan.

Sama-samalah kita koreksi dan periksa diri kita sendiri, moga-moga segala yang kita lakukan mendapat tempat di sisi Allah dan dikira oleh Allah sebagai amal soleh yang memberatkan neraca kebajikan kita di akhirat kelak.

Selamat hari pekerja buat semua, wassalam...


ps: Gambar-gambar daripada Facebook dan Flickr

Saturday, April 25, 2009

Islam For All...

Assalamualaykum dan salam sejahtera.

Sekadar ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat video di bawah. Sering kali kita mengatakan Islam itu untuk semua, Islam itu rahmat buat seluruh alam. Islam bukan milik para ulama semata, Islam bukan kepunyaan Ustaz-ustaz, ustazah-ustazah atau mereka yang belajar agama semata-mata. Tetapi setiap manusia yang diberikan nyawa oleh Allah Taala, diberikan keizinan oleh Allah Taala menyedut nafas, berfikir dan mentafsir, Islam adalah hak milik mereka semua. Setiap detik kehidupan mereka perlulah dengan Islam. Setiap amal perbuatan, patah bicara dan tingkah laku adalah mesti berpandukan apa yang diajarkan Islam.

Justeru walau siapa pun kita, ustaz ke, doktor ke, guru ke, askar ke, polis ke, penyanyi mahupun pelakon, sampaikanlah Islam walau di mana sahaja.

"Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat"

Hari Pembebasan Sinai...

Hari ini kami semesir bercuti sempena Tarikh Memperingati Pembebasan Semenanjung Sinai. Peluang yang tidak dilepaskan Idil untuk membersihkan dapur kami yang sudah sekian lama tidak menerima sentuhan pembersihan daripada Idil


Eii kesan degil...

Gonyoh Idil gonyoh

Ha boleh tahan dah ni, sikit lagi je ni.

Walhasil...


Wah berkilat kan?

Dapur ni pun tidak terlepas daripada sentuhan kilatan dari Idil

Kemas tak?

Saya pula...
Lebih berminat untuk memasak...

Siap pun...

Akhirnya sedikit pesanan dari dapur Istana Presiden


Salam Imtihan buat semua, wassalam.